60 Hidangan Antarabangsa
Sebagai orang Asia, makanan harian kita tidak lari daripada nasi, lauk-pauk berempah, mi, kuih-muih tempatan dan sebagainya. Makanan kita dimasak dengan gaya orang Melayu, Cina dan India. Adakalanya, mungkin kita teringin merasa sesuatu yang baharu. Masakan Barat tidak kurang sedapnya. Jika dimasak di rumah, sudah tentu terjamin halal, enak dan menjimatkan.
Masakan Barat atau masakan antarabangsa ini boleh dikategori sebagai kuisin dari Eropah, Amerika, Australasia dan secara amnya, negara selain daripada negara Asia. Setiap negara mempunyai masakan yang tersendiri mengikut selera penduduk setempat. Kuisin Barat selalu menghidangkan daging dengan porsi besar. Ia banyak menggunakan sos, produk tenusu, roti, pasta, polenta, kentang dan sayur-mayur mentah. Rasanya pula kurang pedas berbanding makanan Asia.
Teknik memasak dalam buku 60 Hidangan Antarabangsa ini agak mudah. Bahan-bahan boleh dibeli dari pasaraya besar dan tiada alat memasak yang khusus digunakan. Semuanya boleh dimasak di dapur anda sendiri. Gambar, tip dan info ringkas turut diselitkan bagi setiap resipi.
Terdapat 60 resipi, bermula daripada hidangan pembuka, diikuti dengan hidangan utama seperti pasta, nasi, daging, ayam, dan makanan laut. Selain itu, terdapat juga pilihan menu untuk snek dan pemanis mulut. Pastinya akan ada sesuatu untuk anda cuba setiap hari.